Berita

25,000 anak muda bakal dapat manfaat besar daripada Bakat MADANI

Menghargai bakat serta kemahiran anak muda negara yang mempunyai kemampuan tinggi, kerajaan mengambil inisiatif membuka peluang lebih besar kepada generasi tersebut membina kerjaya.

Untuk memaknai hasrat murni itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan program Bakat MADANI di Sendayan, Negeri Sembilan.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan program tersebut merupakan satu ikhtiar nasional yang digerakkan bersama GLIC, GLC dan PETRONAS bagi membuka peluang kepada golongan anak muda.

“Seramai 25,000 anak muda serta penerima manfaat daripada program Bakat MADANI ini sepanjang tahun ini hingga 2027,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, Bakat MADANI bukan sekadar membuka ruang latihan dan pekerjaan, tetapi memastikan setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang yang adil untuk mengembangkan potensi dan membina kehidupan yang lebih bermaruah.

Kata beliau, tidak semua orang bermula dari titik yang sama bagi membina kerjaya yang terbaik. 

Justeru itu beliau berkata, menjadi tanggungjawab kepada Kerajaan MADANI untuk memperluas akses, memperkasa bakat dan memastikan tiada yang tercicir daripada arus kemajuan.

“Terima kasih kepada semua rakan strategik yang bersama menjayakan ikhtiar ini. Semoga Bakat MADANI menjadi pemangkin melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, berkemahiran, berakhlak serta yakin membina masa depan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI