Berita

MD2030: Pacu Malaysia jadi negara AI lebih inklusif

Malaysia perlu memperkukuhkan keupayaan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengharungi persaingan sengit ekonomi digital global yang semakin mencabar ketika ini.

Meneliti perkembangan usaha tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), sebelum menyempurnakan peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030): Ke Arah Negara AI.

Beliau berkata, MD2030 adalah ikhtiar strategik negara untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi berasaskan data, sekali gus memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik serta persaingan ekonomi digital global.

“Keutamaan kita adalah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan tersusun, berdisiplin dan berimpak.

“Pelaksanaan secara terperinci dapat memberi manfaat kepada rakyat, seterusnya memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu Malaysia ke arah sebuah Negara AI yang inklusif menjelang 2030,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perkhidmatan digital kerajaan perlu dibangunkan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara. 

Menurut beliau, perkara itu penting untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan data negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta membangunkan kepakaran digital sektor awam.

“Insya-Allah dengan iltizam seluruh jentera Kerajaan MADANI, MD2030 akan menjadi agenda nasional yang mengubah cara kita bekerja, berkhidmat dan membina masa depan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI