Berita

Kerajaan sumbang RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA, setuju teruskan Dana Inovasi Media

Menghargai sumbangan dan peranan besar pihak media kepada negara, kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA 2026 bagi membantu menjaga kebajikan pengamal media yang memerlukan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif peruntukan tersebut diberikan berdasarkan keberkesanan tabung berkenaan memberi bantuan kebajikan kepada ahlinya ketika mana memerlukan.

Beliau berkata, tabung berkenaan sebelum ini berjaya menyalurkan sumbangan berjumlah RM2.6 juta kepada seramai 773 warga media.

Menurut beliau, bantuan yang diberikan menerusi tabung tersebut mencerminkan semangat ihsan dan kasih sayang yang terus menjadi teras dalam usaha menjaga kebajikan pengamal media di negara ini.

“Kerana kejayaan ini, kerana semangat ihsan dan kasih, maka Tabung Kasih@HAWANA bagi tahun 2026 diberi peruntukan RM1 juta,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen Picca, Pulau Pinang.

Hadir sama ke majlis tersebut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju meneruskan Dana Inovasi Media yang sebelum ini diperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi membantu organisasi media melaksanakan inovasi dan memperkukuh transformasi digital industri berkenaan.

Kata beliau, sehingga kini sebanyak 72 syarikat media telah menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta menerusi Dana Inovasi Media Fasa 1 hingga Fasa 5.

Jelas beliau, kerajaan bersetuju untuk meneruskan peruntukan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media negara melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri media.

“Kerajaan akan terus memastikan dana yang disediakan dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak berdepan kekurangan bagi menyokong pembangunan industri media negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI