Viral aduan sotong mengandungi ikan di dalamnya bagi menambah berat timbangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah bertindak turun ke lokasi bagi melakukan siasatan.
Terdahulu tular di media sosial berkaitan dakwaan sotong dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu, Sabah mengandungi ikan di dalamnya.
Susulan aduan viral tersebut, KPDN Sabah berkata, satu pasukan operasi telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan penjelasan daripada peniaga terlibat.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati peniaga memaklumkan bahawa keadaan tersebut bukan dilakukan secara sengaja bagi menambah berat timbangan.
“Menurut peniaga, ikan dan sotong ditangkap secara bercampur dan berkemungkinan terdapat ikan yang masih hidup memasuki rongga badan sotong semasa berada dalam hasil tangkapan sebelum dipasarkan,” kata KPDN Sabah menerusi laman media sosialnya.
Selain itu katanya, peniaga turut memaklumkan bahawa bahagian dalam sotong sememangnya mengandungi sisa makanan daripada habitat semula jadinya dan dalam keadaan tertentu masih boleh menyerupai bentuk seekor ikan yang belum hadam sepenuhnya.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut dijalankan oleh KPDN Sabah mendapati peniaga berkenaan secara keseluruhannya mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDN.
Selain itu katanya, pemeriksaan turut mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas kepada pengguna, manakala alat timbang yang digunakan masih mempunyai sijil penentusahan yang sah dan berada dalam tempoh yang dibenarkan.
“Walau bagaimanapun, KPDN Sabah telah memberikan teguran serta nasihat kepada peniaga supaya menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti terhadap semua hasil dan produk makanan laut sebelum dipasarkan kepada pengguna.
“Langkah ini penting bagi memastikan produk yang dijual berada dalam keadaan baik, mengelakkan kekeliruan pengguna serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap amalan perdagangan yang dijalankan,” ujarnya.
Tegasnya, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian.
Selain itu menurutnya, pengguna disaran menyalurkan sebarang aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. -MalaysiaMADANI
