Berita

Capai kejayaan di Kazan, delegasi Malaysia ke Ashgabat rangka kerjasama strategik

Selesai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia meneruskan perjalanan ke Ashgabat, Turkmenistan.

Ia merupakan misi Diplomasi MADANI untuk mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-Turkmenistan, sekali gus merangka kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama.

“Semoga siri pertemuan yang telah dijadualkan sepanjang lawatan rasmi ini dapat berlangsung dengan baik dan membawa manfaat besar buat negara dan rakyat keseluruhannya,” kata Perdana Menteri menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu dalam lawatan kerja ke Rusia, Perdana Menteri mengucapkan syukur atas kejayaan mencapai matlamat yang digariskan semasa kunjungan tersebut.

Beliau berkata, kunjungan tersebut mencapai matlamat memperkukuh hubungan Malaysia dan Persekutuan Rusia, sekali gus memperluas ruang kerjasama strategik antara ASEAN dan Rusia dalam pelbagai bidang strategik.

Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Presiden Putin, Republik Tatarstan serta semua pihak yang telah memberikan layanan yang cukup mesra kepada delegasi Malaysia.

“Terima kasih juga kepada pasukan kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, petugas keselamatan serta rakan-rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran setiap urusan sepanjang berada di Kazan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI