Sebanyak 111 inisiatif transformasi dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperkukuh agenda pemerkasaan Bumiputera dan meningkatkan kesiapsiagaan ekonomi masa depan, kata Pengerusinya.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelan komprehensif tersebut merupakan hasil dapatan daripada tujuh pasukan petugas (task force) yang melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem agensi merangkumi sektor pendidikan, keusahawanan, kewangan korporat, dan perkhidmatan pengurusan.
“Pelan itu digarap berdasarkan dapatan tujuh pasukan petugas yang dipimpin Ahli Majlis MARA, Tan Sri Mohamad Ibrahim.
“Sejak ditubuhkan sejak 2023 pasukan petugas telah melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem agensi merangkumi empat sektor utama antaranya pendidikan, keusahawanan, kewangan korporat, dan perkhidmatan pengurusan,” katanya.
Beliau menjelaskan daripada dapatan task force ini, kita telah menghasilkan 111 inisiatif penting yang bersandarkan kepada enam tunjang utama, dengan fokus paling kritikal diberikan kepada aspek dasar dan tadbir urus.
Malah, asas yang paling penting adalah memastikan tata kelola kewangan dan pengurusan berada pada tahap terbaik bagi mengelakkan ketirisan atau salah laku yang boleh menjejaskan imej serta mandat asal institusi ini,” katanya.
Mengulas lanjut Asyraf berkata, selain tadbir urus, enam tunjang utama transformasi tersebut turut merangkumi kecekapan dan kemampanan kewangan, pendigitalan, penyampaian mandat, pembangunan profesional serta penyelidikan dan jaringan strategik.
Langkah transformasi ini tegas beliau dilihat sebagai sesuatu yang penting bagi membolehkan MARA “terbang lebih tinggi” dalam melaksanakan agenda pemerkasaan sosio-ekonomi Bumiputera secara lebih berstruktur.
Tegas beliau transformasi ini bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi satu anjakan paradigma untuk memastikan setiap ringgit dana awam yang diamanahkan memberi impak maksimum kepada kumpulan sasar.
“Hala tuju strategik bagi tempoh 2026-2030 ini akan menjadi kayu ukur utama dalam menilai keberkesanan MARA dalam mencapai matlamat Penyertaan, Pemilikan, dan Penguasaan (3P) Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaMADANI
