Berita

SPRM, institusi kewangan perkukuh sinergi banteras rasuah, fraud

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik bersama institusi kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam usaha membanteras rasuah dan fraud.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jalinan kerjasama melalui Program Compliance Officers Networking Group (CONG) menjadi platform penting untuk meningkatkan perkongsian risikan kewangan dalam pengubahan wang haram. 

“Hasil penguatkuasaan serta kerjasama berasaskan data dan risikan, sebanyak RM15.5 bilion telah berjaya dipulihkan dalam tempoh lima tahun sehingga Februari 2026 melalui pelbagai operasi berprofil tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program CONG Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Tahun 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16 Putrajaya, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi CONG, Faradina Mohammad Ghouse dan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.

Menurut Azam, Malaysia kekal komited memperkukuh rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan selaras piawaian antarabangsa di bawah Financial Action Task Force (FATF).

Susulan Mutual Evaluation Exercise (MEE), beliau berkata, Malaysia kini berada dalam fasa pemantauan berkala yang menuntut penambahbaikan berterusan daripada segi keberkesanan penguatkuasaan, pendakwaan serta hasil siasatan kewangan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan institusi kewangan memperkukuh proses ‘ketekunan wajar’ (due diligence), meneliti struktur pemilikan kompleks serta memantau transaksi melibatkan individu berprofil tinggi atau Politically Exposed Persons (PEPs).

Beliau juga menggesa pelaksanaan program pembangunan kapasiti yang lebih berstruktur, termasuk latihan berasaskan kes sebenar dan pembangunan keupayaan dalam analisis kewangan dan penggunaan teknologi bagi mengesan transaksi mencurigakan. -MalaysiaMADANI