Berita

Generasi huffaz profesional pacu perubahan, pembangunan negara

Kerajaan MADANI terus mengangkat martabat institusi pondok serta tahfiz sebagai teras pembinaan insan berakhlak dan berintegriti menerusi sumbangan RM1.8 juta kepada 18 buah institusi pengajian itu di Terengganu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui Belanjawan 2026, peruntukan disalurkan bagi memperkasa prasarana Sekolah Agama Rakyat dan sekolah tahfiz.

Beliau berkata, peruntukan yang disediakan itu bertujuan memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan bermaruah.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh dan memartabatkan institusi pendidikan agama.

“Ia sebagai wahana melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya tahan, demi masa depan negara yang lebih sejahtera,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu Perdana Menteri menghadiri Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz Negeri Terengganu.

Kata beliau, institusi tahfiz memainkan peranan besar dalam membentuk generasi berakhlak mulia, berilmu dan berintegriti, selari dengan hasrat membangun masyarakat yang berteraskan nilai ihsan.

Beliau menegaskan, generasi tahfiz bukan sekadar pewaris, sebaliknya pemimpin masa hadapan negara. 

Justeru itu menurut beliau, anak-anak tahfiz perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan penguasaan al-Quran, tetapi juga ilmu dan teknologi moden agar lahir generasi huffaz profesional yang mampu memacu perubahan dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Selain itu, Perdana Menteri turut berpesan agar sentiasa berpegang pada prinsip tabayyun, meneliti dan memastikan kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya. 

“Usah terpengaruh dengan suara-suara sumbang yang tidak berlandaskan fakta serta gemar menabur dakyah palsu.

“Peganglah pada kebenaran, perkukuh ilmu dan teruskan usaha menjadi insan yang membawa manfaat kepada ummah dan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI