Berita

17 saksi dirakam percakapan, SPRM minta James Chai tampil segera beri keterangan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan berkaitan kes syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, ARM Holdings Plc (ARM) sedang giat dijalankan. 

Dalam satu kenyataan dikeluarkan SPRM, sebanyak 17 saksi telah dirakam percakapan, melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

Kata kenyataan itu, SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan, selain akan merakam percakapan lapan lagi saksi termasuk individu yang berada di luar negara.

“Dalam siasatan ini, Chai Jin Shern atau James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan,” kata kenyataan itu.

Pada 4 Mac 2026, SPRM telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan James Chai.

Susulan itu, SPRM menerima surat daripada syarikat guaman James Chai bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa anak guamannya itu tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.

Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada hari ini yang menetapkan bahawa beliau perlu hadir dalam tempoh dua minggu, malah SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan. 

“Sekiranya beliau masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, suruhanjaya ini akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadiran beliau,” katanya. 

SPRM menegaskan bahawa semua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan wajib memberi kerjasama kepada pihak berkuasa. 

Menurut kenyataan SPRM, sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM, bukannya terus mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa.

Tegas SPRM, tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang dan siasatan akan diteruskan secara profesional, bebas serta berasaskan bukti. -MalaysiaMADANI