Berita

Berita baik, STR Fasa 2 masuk hari ini

Kerajaan MADANI mengumumkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula hari ini termasuk kepada 200,000 penerima baharu yang diluluskan.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataannya berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan komited dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima manfaat. 

Kata kenyataan itu, lebih ramai rakyat yang berkelayakan kini mendapat manfaat daripada bantuan STR tersebut dan ia diharap dapat memberi kelegaan segera dalam mendepani kos sara hidup.

“Penyaluran pembayaran STR Fasa 2 bermula hari ini iaitu 30 Mac 2026.

“Bantuan akan dikreditkan secara berperingkat ke dalam akaun penerima yang layak bermula hari ini,” kata kenyataan itu menerusi laman media sosialnya.

Menurut kenyataan itu, semakan status mudah dan pantas boleh dibuat menerusi semakan kelulusan melalui portal rasmi di pautan bantuantunai.hasil.gov.my.

Tambahnya, sebagai agensi yang komited kepada kesejahteraan rakyat, ICU JPM menyokong penuh inisiatif berterusan Kementerian Kewangan (MOF) tersebut.

Jelasnya, ia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan ihsan dan pembelaan nasib rakyat sebagai keutamaan negara.

“Kongsikan berita gembira ini kepada ahli keluarga dan rakan-rakan anda. Jangan lupa buat semakan hari ini,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaMADANI