Berita

Mesir jadi pemudah cara Malaysia salur bantuan kemanusiaan ke Gaza

Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza melalui pintu sempadan Rafah bermula April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha murni Malaysia itu dicapai setelah mendapat sokongan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi menerusi satu perbincangan diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, ia merupakan kerjasama Malaysia dan Mesir dalam melaksanakan urusan logistik penghantaran barangan bantuan berkenaan.

“Sewaktu interaksi bersama Presiden Abdel Fattah El-Sisi tempoh hari, saya telah memohon kerjasama beliau.

“Ia bagi memudah cara penyaluran 374 tan bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Gaza melalui pintu sempadan Rafah bermula April ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, El-Sisi memberikan jaminan dan komitmen jelas untuk memastikan akses tersebut dipermudah.

Jelas beliau, keputusan bagi mengadakan kerjasama itu membolehkan bantuan segera disalurkan kepada lebih 100,000 penduduk Gaza yang amat memerlukan.

Tegas beliau, Malaysia tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang halangan, khususnya daripada rejim Zionis Israel yang terus merencatkan usaha kemanusiaan bagi membantu Gaza. 

Tambahnya, dalam saat dunia diuji dengan rasa tidak peduli dan hipokrasi, Malaysia akan terus berdiri sebagai suara yang berprinsip dan bermaruah, mempertahankan hak mereka yang tertindas.

“Mohon doa agar segala urusan dipermudah dan bantuan ini sampai dengan selamat kepada saudara kita di Gaza, Insya-Allah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI