Langkah penyelarasan had kelayakan Budi95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan adalah pendekatan seimbang oleh kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan bantuan terus dinikmati tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara, tegas Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan penyelarasan subsidi RON95 yang dikenakan kerajaan.
“Dunia kini berdepan tekanan global yang semakin mencabar termasuk lonjakan harga minyak mentah melepasi paras AS$100 setong yang memberi kesan besar kepada banyak negara.
“Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter manakala Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun harga pasaran sebenar RON95 telah mencecah sekitar RM3.87 seliter, kerajaan mengekalkan harga subsidi pada RM1.99 seliter.
“Ini bukan keputusan mudah, tetapi inilah bukti kepimpinan yang berani membuat pilihan demi kesejahteraan rakyat
Namun, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian jelas untuk terus melindungi rakyat,” ujarnya
Mengulas lanjut beliau berkata, kos subsidi yang kini mencecah sekitar RM4 bilion sebulan merupakan amanah besar yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab.
Sehubungan itu katanya, pelaksanaan had 200 liter sebulan di bawah Budi95 dilihat tidak membebankan majoriti rakyat memandangkan corak penggunaan semasa menunjukkan kebanyakan pengguna berada di bawah paras tersebut.
Tas dasar itu beliau menyeru rakyat agar menggunakan subsidi secara berhemah dengan mengelakkan pembaziran serta merancang perjalanan dengan lebih baik. – MalaysiaMADANI
