Berita

Imbangi kemampanan fiskal, langkah kerajaan lindungi rakyat

Kerajaan memaklumkan subsidi bahan api meningkat kepada sekitar RM3.2 bilion pada dua minggu lalu dan hari ini jumlah itu terus melonjak sehingga mencecah RM4 bilion sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak awal konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh rejim Zionis Israel dengan dukungan Amerika Syarikat, Kerajaan MADANI telah bertindak awal untuk memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat.

Namun begitu kata beliau, ikhtiar tersebut berdepan cabaran besar susulan situasi yang kian meruncing di Asia Barat. 

“Kerajaan perlu mengimbangi antara kemampanan fiskal dengan keperluan memastikan bekalan tenaga terus dapat dinikmati rakyat sepanjang krisis ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Sehubungan itu menurut beliau, kerajaan telah umumkan beberapa langkah penting termasuk harga RON95 yang kekal RM1.99 seliter dengan pelarasan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini.

Beliau berkata, hampir 90 peratus rakyat tidak terkesan susulan tindakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI itu.

Selain itu kata beliau, kerajaan juga mengumumkan 800 liter dikekalkan bagi e-hailing dan had pengisian diesel dilaksanakan secara sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Namun begitu tegas beliau, sistem penguatkuasaan dipertingkat bagi mengekang sebarang ketirisan berlaku.

Jelas beliau lagi, langkah sementara itu bagi memastikan majoriti rakyat terus dilindungi, bekalan kekal stabil dan negara kekal bertahan dalam ketidaktentuan global.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang cakna dan tampil melaporkan aktiviti mencurigakan di stesen minyak, sekali gus membantu melindungi subsidi daripada diseleweng,” ujar beliau.

Dalam tempoh mencabar ini, tambah beliau, disiplin dan kebersamaan masyarakat menjadi kekuatan utama kepada Kerajaan MADANI. 

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan memohon kerjasama semua untuk terus berhemah dan memahami langkah yang diambil demi memastikan bekalan kekal terjamin untuk semua. -MalaysiaMADANI