Berita, Siaran Media

Pasukan MALBATT di Lubnan kekal selamat,  di arah waspada

Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 dilaporkan selamat dan terkawal walaupun berlaku beberapa insiden letupan di kawasan operasi berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Selatan Lubnan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga kini anggota berada dalam selamat dan terkawal dan tiada anggota yang terlibat atau cedera dalam insiden berkenaan.

“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama sentiasa memantau perkembangan semasa khususnya di kawasan penugasan MALBATT 850-13 dengan keselamatan anggota kekal menjadi keutamaan.

“Markas UNIFIL di Naqoura turut memantau keadaan secara berterusan serta mengeluarkan arahan kepada semua pasukan pengaman agar sentiasa berjaga-jaga.

“Langkah keselamatan tambahan telah dilaksanakan termasuk rondaan berjadual, situational awareness serta komunikasi rapi antara unit,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, MALBATT 850-13 terus melaksanakan tugasan di Kawasan Tanggungjawab dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Malah pihaknya melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan rakan pasukan pengaman lain.

“Langkah ini bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara selain tugasan yang diamanahkan terus dilaksanakan dengan baik,” ujarnya lagi. – MalaysiaMADANI