Berita

Kertas siasatan pegawai kanan JAS dikemukakan kepada AGC

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan usaha menangani isu rasuah melibatkan pengurusan e-waste dan sisa plastik, susulan perkembangan terkini siasatan melibatkan pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa kertas siasatan melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS telah diselesaikan, seterusnya dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk pertuduhan.

Beliau berkata, tindakan membabitkan kertas siasatan telah selesai dijalankan dan telah dibentangkan kepada AGC dengan syor tuduh. 

“Suruhanjaya ini sedang menunggu pelaksanaan pertuduhan oleh AGC ke atas kedua-dua pegawai kanan JAS berkenaan dalam masa terdekat,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah JAS telah dibentangkan pada 26 Februari 2026, manakala bagi Timbalan Ketua Pengarah JAS pada 6 Mac 2026.

Azam berkata, isu pengurusan e-waste dan sisa plastik merupakan antara cabaran yang telah lama dihadapi, khususnya di kawasan yang terkesan dengan aktiviti pelupusan dan pemprosesan yang tidak teratur.

Kata beliau, aduan berkaitan pencemaran udara, air dan tanah turut memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk setempat, sekali gus menuntut tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak termasuk agensi penguatkuasaan.

“Masalah e-waste dan sisa pepejal plastik sudah lama dihadapi oleh rakyat dan tidak dapat diselesaikan walaupun telah banyak aduan pencemaran. 

“Akhirnya SPRM telah bertindak dengan menyiasat dan menahan mereka yang diamanahkan untuk melindungi alam sekitar,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang elemen rasuah boleh memberi implikasi yang lebih luas, termasuk kepada kelestarian alam sekitar serta kesihatan awam. -MalaysiaMADANI