Beberapa faktor utama menyebabkan berlaku kenaikan harga minyak dunia ekoran konflik Asia Barat setelah rejim Israel dan Amerika Syarikat melakukan serangan terhadap Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun sebagai sebuah negara pengeluar minyak dunia, Malaysia tidak terlepas daripada menerima tempias susulan konflik tersebut.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak dunia mencatat kenaikan apabila Selat Hormuz iaitu laluan utama minyak dunia terjejas akibat peperangan tersebut, sekali gus menjadikan bekalan minyak dunia terhad dan harga minyak melonjak.
“Malaysia turut terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz,” kata beliau menerusi laman sosialnya.
Menurut beliau, walaupun Malaysia pengeluar minyak, namun negara sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada dieksport
Untuk melindungi rakyat, kata beliau, subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu.
Meskipun begitu jelas beliau, rakyat serta majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi tersebut disalurkan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel.
“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
