Malaysia terus menerima perkhabaran baik dalam bidang ekonomi apabila syarikat teknologi global, Intel Corporation (Intel) merancang memperluaskan pelaburan di negara ini.
Untuk tujuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menerima penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan bersama pasukannya.
Beliau berkata, pertemuan ‘empat mata’ itu membincangkan tentang perkembangan terkini hasrat syarikat global tersebut memperluaskan pelaburan di Malaysia.
“Perbincangan tertumpu kepada usaha-usaha menyokong pembangunan kompleks pembungkusan termaju serta pembuatan pemasangan.
“Selain itu, perbincangan juga berkisar tentang ujian yang merupakan komponen utama peluasan pelaburan Intel di Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Naib Presiden Eksekutif dan Pengurus Besar Intel Foundry, Naga Chandrasekaran pula telah menggariskan rancangan untuk memulakan fasa pertama kompleks tersebut dengan pemasangan dan ujian bagi pembungkusan termaju.
Menurut beliau, kerajaan menyambut baik keputusan pihak Intel untuk memulakan operasi bagi kompleks tersebut pada lewat tahun ini.
Selain itu kata beliau, penekanan turut diberikan kepada latihan berterusan dan peningkatan kemahiran bagi bakat tempatan sepanjang penglibatan Intel di negara ini.
Tegas beliau, rantaian nilai tersebut adalah penting, terutama dalam usaha kerajaan menjana pekerjaan bernilai tinggi selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
“Jentera Kerajaan MADANI akan terus menjadi rakan dan pemudah cara bagi pelaburan-pelaburan yang jelas akan memberi manfaat jangka masa panjang.
“Ia sebagaimana yang disasarkan dalam pelan-pelan yang telah dilancarkan, termasuk Strategi Semikonduktor Nasional,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI
