Kira-kira 1.16 juta isi rumah menerima manfaat daripada inisiatif Bank Makanan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2020.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah sebenar penerima manfaat inisiatif kemungkinan lebih besar memandangkan angka itu hanya berdasarkan Sekretariat Bank Makanan di bawah KPDN, selain pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama menggerakkan inisiatif tersebut di seluruh negara.
“Kita mahu program ini bukan hanya mendapat impak yang besar tetapi kita dapat pastikan tidak ada golongan yang terpinggir atau tersasar.
“Kita jemput semua NGO ini untuk bergerak sebagai rakan strategik untuk inisiatif bank makanan ini,” katanya seperti dipetik Bernama.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, kerajaan kini memperkasa gerakan itu melalui inisiatif i-FB yang bertujuan menarik penyertaan lebih banyak rakan strategik bagi memperluaskan pengagihan makanan kepada golongan memerlukan.
Usaha ini katanya penting dalam menangani isu pembaziran makanan berikutan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati Malaysia dianggarkan menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari.
Malah, sekitar 4,000 tan metrik daripadanya masih boleh diselamatkan serta dimanfaatkan semula.
Katanya lagi, lebihan makanan yang berjaya diselamatkan bukan sahaja boleh disalur kepada golongan memerlukan tetapi dapat membantu mengurangkan sisanya di tapak pelupusan. – MalaysiaMADANI.
