Institusi kekeluargaan bukan sahaja memainkan peranan besar membina generasi cemerlang tetapi perkara paling penting membentuk adab dan sahsiah diri tinggi seorang insan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai asas dalam membentuk peribadi, sahsiah dan nilai kemanusiaan seseorang.
“Walau dunia berubah pantas didorong kemajuan teknologi dan arus pembangunan sejagat, nilai moral serta akhlak yang tinggi tetap menjadi tiang seri yang tidak boleh digugat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke majlis sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Kata beliau lagi, seandainya sesebuah institusi keluarga rapuh, ruang akan terbuka kepada pelbagai gejala negatif.
Jelas beliau, sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia akhirnya akan menimbulkan kerosakan dalam sistem kemasyarakatan, seterusnya memberi impak kepada masa depan negara.
Untuk itu tegas beliau, institusi kekeluargaan berperanan besar dalam menyemai kasih sayang, mendidik dengan hikmah serta memupuk nilai tanggungjawab dan hormat antara satu sama lain.
“Dengan itu lahirnya generasi yang berintegriti, berakhlak dan mampu memimpin masyarakat dengan baik,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
