Berita

Perluas akses perumahan mampu milik -PM

Langkah strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat terus dipertingkatkan selari dengan kerangka Malaysia MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam mesyuarat bersama pengurusan KPKT, satu taklimat berhubung perkembangan dasar perumahan, pembangunan bandar serta usaha memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dibentangkan.

Beliau berkata, perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan konstruktif itu telah menyentuh pelbagai aspek penting termasuk usaha memperluas akses kepada perumahan mampu milik.

“Selain itu, perbincangan juga menyentuh usaha mempercepat proses kelulusan projek, mempertingkat mutu tadbir urus serta memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti.

“Semua ini dilaksanakan selaras dengan kerangka Malaysia MADANI bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau lagi, intipati mesyuarat tersebut juga amat penting bagi membolehkan kementerian merangka langkah-langkah strategik yang lebih tuntas dan responsif.

Tegas beliau, ia demi menjamin perancangan perumahan dan pembangunan komuniti benar-benar memenuhi keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Hatta fokus tahun 2026 ini haruslah ditumpukan kepada memperkasa projek dan program demi rakyat terbanyak, terutamanya aspek perumahan mampu milik yang berkualiti, kebersihan kawasan awam dan pengurusan sisa yang lebih sistematik,” ujar beliau. 

Selesai mesyuarat bersama pengurusan KPKT, Perdana Menteri meluangkan masa menunaikan solat secara berjemaah bersama-sama warga kementerian sebelum ke agenda seterusnya. -MalaysiaMADANI