Berita

MyDigital ID sasar 17 juta akaun didaftarkan menjelang tahun ini

Kira-kira 17 juta akaun MyDigital ID disasarkan untuk didaftarkan menjelang hujung tahun ini, selari dengan peningkatan penggunaan identiti digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd, Azrin Aris berkata jumlah pendaftaran dijangka mencecah 13 juta menjelang pertengahan tahun, berbanding hampir 10 juta setakat ini.

“Angka tersebut menunjukkan lonjakan signifikan berbanding kira-kira 1.8 juta pendaftaran dalam tempoh sama tahun lepas, didorong peningkatan kesedaran terhadap risiko jenayah siber dan keselamatan data.

“Apabila lebih ramai pengguna beralih kepada identiti digital yang sah dan disahkan, ia dapat mengurangkan risiko penipuan dalam talian,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata MyDigital ID MyDigital ID merupakan satu-satunya platform di Malaysia yang mengesahkan identiti secara masa nyata terus dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara sebagai sumber rujukan tunggal.

Keupayaan tersebut memberi tahap jaminan lebih tinggi kepada institusi kewangan dalam proses pengesahan pelanggan bagi pembukaan akaun, transaksi digital dan perkhidmatan kritikal lain.

Katanya pengguna disahkan secara masa nyata dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), manakala MyDigital ID bertindak sebagai pengantara pengesahan.

“Apabila terlalu banyak kata laluan perlu diingati, risiko kebocoran data meningkat. Dengan MyDigital ID, pengguna hanya memerlukan satu aplikasi untuk pengesahan identiti, sekali gus memastikan data mereka lebih selamat,” katanya.

Pada majlis sama, MyDigital ID memeterai MoU dengan 15 bank utama dan syarikat Fintech bagi memperkukuh pengesahan identiti merentas ekosistem institusi kewangan negara. – MalaysiaMADANI