Berita

Malaysia akan terus berada pada landasan pertumbuhan positif

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus berada pada landasan pertumbuhan yang positif, iaitu berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti.

Perkara itu ditegaskan ketika menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026.

Katanya negara hari ini berada pada landasan yang lebih kukuh, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang kira-kira 4.9 peratus pada 2025 manakala inflasi terkawal pada 1.6 peratus.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemajuan negara tidak boleh diukur dengan angka dan statistik semata-mata, sebaliknya kemajuan hanya bermakna jika dirasai rakyat.

“Kemajuan itu dirasai sama ada pembangunan membuka ruang mobiliti sosial, pertumbuhan menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan yang bermakna, serta kehidupan yang lebih terjamin dan bermaruah,” ujarnya.

Pada Masa sama, Anwar menjelaskan kerajaan MADANI beriltizam untuk mengubah nasib rakyat bermula dengan reformasi tatakelola lantas melahirkan kepercayaan pelabur dan mewujudkan kemajuan berkekalan.

“Insya-Allah, jika kita berpegang teguh kepada amanah untuk melakukan yang terbaik demi rakyat, Malaysia akan terus mara dengan yakin, berdisiplin dan terhormat,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, FEM 2026 menjadi wadah penting untuk membahas secara terbuka cabaran ekonomi yang semakin mendesak termasuk kemajuan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), jurang kekayaan yang melebar, hinggalah implikasi perubahan iklim terhadap kesejahteraan rakyat. – MalaysiaMADANI