Berita

‘Bangunan bersejarah mesti terus dihidupkan’ – PM

Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sekadar usaha membaik pulih struktur lama, sebaliknya adalah ikhtiar menghidupkan kembali sejarah dan menjadikannya pedoman dalam membina masa depan negara. kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar ibrahim berkata, Bangunan Sultan Abdul Samad  adalah saksi perjalanan panjang Kuala Lumpur daripada pentadbiran kolonial, detik bersejarah kemerdekaan, hingga menjadi simbol kedaulatan dan identiti negara.

“Inisiatif WARISAN KL mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan bandar berlangsung secara seimbang yakni moden dan dinamik, namun tetap berakar pada sejarah, nilai dan peradaban.

“Ini juga adalah pendekatan strategik kerajaan untuk menghidupkan semula tapak-tapak warisan utama di Kuala Lumpur sekali gus, menjadi pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya,”katanya.

Terdahulu beliau merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Anwar pada masa sama menjelaskan warisan negara tidak dilihat sebagai beban masa lalu, sebaliknya aset strategik yang mampu menjana ekonomi, memacu pelancongan dan mengukuhkan ekosistem budaya serta industri kreatif

Bangunan-bangunan bersejarah katanya mesti terus dihidupkan sebagai ruang mendidik, menyatukan dan memberi inspirasi kepada rakyat.

“Negara yang maju bukan sekadar dibina dengan kekuatan ekonomi, tetapi dengan jiwa, nilai dan penghargaan terhadap akar sejarahnya,” katanya.

Bangunan Sultan Abdul Samad menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur yang menelusuri perjalanan bangunan berkenaan dan ibu kota Kuala Lumpur melalui lima ruang bertema merentasi tiga abad sejarah. – MalaysiaMADANI