Berita

Pelihara, bersih nama institusi pertahanan negara

Bertindak melindungi rakyat dan negara, institusi pertahanan tidak boleh bergantung dengan slogan semata-mata tetapi dibina menerusi tahap profesionalisme tinggi yang tidak boleh dijual beli.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tidak boleh dicurangi dan perlu diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas.

Tegas beliau lagi, setiap anggota dan pegawai perlu mematuhi peraturan ditetapkan serta konsisten dalam menjalankan tugas di peringkat pentadbiran serta operasi.

“Dalam konteks cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi pertahanan negara, saya menekankan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah.

“Ia menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Dato’ Azhan Md Othman.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani.

Malah menurut beliau, kerajaan sedia ada juga akan memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya. -MalaysiaMADANI