Setiap pembangunan projek kerajaan perlu mengambil kira kepentingan terhadap masyarakat secara keseluruhan terutama daripada aspek kesejahteraan dan keselesaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjadi tanggungjawab besar kepada Kerajaan MADANI untuk bukan sekadar menjalankan amanah, tetapi memacu perubahan nyata demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara yang lebih gemilang.
Beliau berkata, setiap dasar, inisiatif dan projek yang dilaksanakan haruslah bersasar kepada kepentingan rakyat, agar kehidupan menjadi lebih selesa, peluang lebih adil serta harapan kepada masa depan lebih cerah.
“Perkara ini saya tekankan secara khusus semasa pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, satu langkah penting dalam usaha memodenkan prasarana dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Projek yang akan dijalankan di sini ialah pembinaan jalan pintas dan juga tapak kubur awam yang akan membantu meningkatkan mutu kehidupan dan memberi kelegaan kepada penduduk setempat,” kata beliau dalam media sosialnya.
Tegas beliau, semua pihak termasuk kerajaan negeri diingatkan untuk terus melipat ganda usaha dan komitmen dalam memberi pulangan terbaik kepada masyarakat.
Menurut beliau, perkara itu penting bagi memastikan perubahan dapat dirasai setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Semoga seluruh masyarakat dapat menikmati limpahan arus pembangunan, peluang yang lebih luas dan kehidupan yang lebih bermakna,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
