Berita

Khidmat ‘coach cerai’ tidak wajar dinormalisasi, rujuk pihak berautoriti dapatkan khidmat nasihat

Khidmat ‘coach cerai’ tidak sewajarnya dinormalisasi dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana berpotensi memberi panduan yang silap dan berisiko membawa perceraian, tegas Menteri di jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dr Zulkifli Hasan berkata institusi berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) wajar dijadikan rujukan dan mendapat khidmat nasihat dalam masalah rumah tangga.

“Dalam Islam, takhbib yang merujuk perbuatan hasutan atau fitnah bertujuan memisahkan suami isteri atau meruntuhkan institusi perkahwinan, dianggap dosa besar dan sangat dikecam kerana mengkhianati ikatan suci perkahwinan.

“Ia melibatkan campur tangan pihak ketiga yang berniat jahat untuk merosakkan hubungan rumah tangga, sama ada melalui kata-kata, perbuatan atau fitnah untuk menimbulkan ketidakpercayaan dan pertengkaran,” katanya seperti di petik laporan Berita Harian.

Beliau turut menegaskan penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti ‘coach cerai’ perlu dikawal bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Ia penting bagi mengelakkan kegusaran awam, khususnya dalam menyalurkan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang sah,” ujarnya

Katanya sekiranya ‘coach cerai’ atau mana-mana individu didapati melanggar peruntukan undang undang, individu tersebut, dia boleh disabitkan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Nasihat yang tidak bersandarkan syariat atau datang daripada pihak yang tidak berkelayakan bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi merosakkan rumah tangga dan menjejaskan kesejahteraan emosi pasangan,” katanya.

Justeru beliau menyeru semua pihak supaya mendapatkan panduan dan nasihat yang tepat daripada pihak berautoriti termasuk kaunselor bertauliah dan Mahkamah Syariah, Zulkifli kerana bukan saja melindungi hak serta tanggungjawab suami isteri, malah memastikan setiap keputusan dibuat dengan hikmat. – MalaysiaMADANI