Berita

Badan Kehakiman tubuh Mahkamah Tinggi Khas percepat selesai kes rasuah negara

Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan, penubuhan Mahkamah Tinggi Khas berkenaan diputuskan bagi memperkukuhkan sistem kehakiman negara dan mempercepatkan penyelesaian kes rasuah di negara ini. 

Sebagai permulaan inisiatif berkenaan akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Penubuhan mahkamah khas ini juga diputuskan selepas rundingan Hakim Besar Malaya dengan ketua Hakim negara berikuta titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim menitahkan terdapat keperluan untuk menyediakan hakim yang berpengalaman untuk mendengar kes rasuah dan supaya laluan khas disediakan di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah di mahkamah dapat diselesaikan dengan segera.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat.

Dalam titah baginda, keperluan untuk menyediakan hakim yang berpengalaman bagi mendengar kes rasuah telah ditekankan selain menekankan keperluan bagi memberi laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.

Buat masa ini terdapat 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan untuk mendengar kes-kes rasuah di seluruh Malaysia dengan matlamat untuk menyelesaikan kes-kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran. -MalaysiaMADANI