Kerajaan terus berpegang teguh terhadap komitmen mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
Beliau berkata, keputusan itu penting bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksana dengan segera demi kebajikan rakyat, namun pada masa yang sama tidak menjejaskan kelestarian dan keluasan hutan negara.
“Saya turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus memperkukuh kerjasama, khususnya dalam mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan, tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Tegas beliau, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan seimbang, dengan mengambil kira keperluan manusia dan kelestarian alam, selari dengan prinsip kemampanan sebagai salah satu teras utama konsep MADANI.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82, satu platform penting yang menyatukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perancangan serta pengurusan tanah negara.
Mesyuarat itu membincangkan bagaimana pengurusan tanah dapat dimanfaatkan secara optimum dan seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial serta kelestarian alam sekitar.
“Mesyuarat ini memberi penekanan kepada usaha memantapkan aspek kawal selia tanah supaya lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat, responsif terhadap keperluan dan realiti semasa,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
