Nasib rakyat Sabah sama sekali tidak pernah dipinggirkan malah perancangan pembangunan terancang di Negeri Bawah Bayu itu menjadi agenda utama di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam setiap langkah yang diambil oleh kerajaan, prinsipnya adalah jelas iaitu mengangkat martabat rakyat.
Beliau berkata, dari jalan raya, klinik desa, sekolah daif hingga universiti, Kerajaan MADANI berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki keperluan rakyat di Sabah.
“Semua ini bukan untuk meraih sorak, tetapi kerana itu hak rakyat.
“Justeru itu, Sabah bukan negeri yang dipinggirkan. Malah Sabah adalah nadi kekuatan Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Atas sebab itu, menurut beliau, kerajaan MADANI menyalurkan peruntukan pembangunan tertinggi kepada Sabah.
Ini kerana tegas beliau, kerajaan mahu kemajuan negara dirasa oleh rakyat terbanyak, tidak hanya segelintir yang berkuasa.
“Kita tidak sempurna, tetapi kita kerja bersungguh-sungguh untuk membela. Dan selagi diberi nafas, saya akan terus bekerja untuk Sabah dan Malaysia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
