Berita

Malaysia komited perkukuh kerjasama pelabuhan pintar dengan China

Bagi membangunkan pelabuhan generasi baharu yang lebih pintar, mampan dan berdaya saing, Malaysia terus komited untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dengan China.

Perkara demikian ditegaskan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Ke-6 China–Malaysia Port Alliance (CMPA).

Katanya komitmen berkenaan sejajar dengan transformasi global industri maritim yang digerakkan oleh pendigitalan dan tenaga hijau.

“Malaysia komited memacu inovasi ini melalui dasar yang menyokong pembangunan infrastruktur pelabuhan pintar, integrasi logistik lancar dan pertumbuhan maritim mampan,” katanya.

Menurut beliau pelabuhan kini tidak lagi berfungsi sekadar pintu masuk perdagangan sebaliknya perlu menjadi ekosistem inovasi yang menghubungkan industri, masyarakat dan peluang ekonomi baharu.

“Pelabuhan perlu dilihat sebagai nod dinamik dalam ekosistem digital global yang digerakkan oleh automasi, data besar, kecerdasan buatan (AI) serta tenaga boleh diperbaharui.

Hasbi menambah berkata, CMPA yang ditubuhkan pada 2015, kini berjaya menjadi model kerjasama maritim di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Katanya, melalui platform CMPA, pelabuhan kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan perniagaan, berkongsi pengetahuan serta kecemerlangan operasi, sekali gus membuka jalan ke arah kerjasama teknologi, logistik dan pelabuhan hijau. – MalaysiaMADANI