Mulai sesi 2027, semua murid Tahap 1 akan belajar subjek baharu iaitu Alam dan Manusia menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, subjek tersebut menggabungkan sains, pendidikan kesihatan, seni, muzik, TVET dan digital dalam satu silibus yang lebih menyeluruh.
Subjek berkenaan katanya bakal menggantikan mata pelajaran Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada selain dilaksanakan menerusi kaedah pengajaran berpasukan.
“Pengajaran berpasukan menyokong elemen pelbagai disiplin ilmu dalam mata pelajaran ini dan guru saling melengkapi serta menyokong keperluan pembelajaran murid,”katanya.
Mengulas lanjut, menerusi pengajaran berpasukan, dua orang guru diwajibkan untuk berada di dalam bilik darjah secara serentak semasa pembelajaran dilaksanakan.
“Pada Tahap I, tumpuan utama diberi kepada penguasaan literasi dan numerasi (3M) serta pembentukan karakter.
“Tujuan utama adalah bagi membolehkan murid menguasai kemahiran asas,” jelas KPM.
Sebelum ini subjek Alam dan Manusia pernah diperkenalkan pada 1982 di bawah Kurikulum Baru Sekolah rendah (KBSR) namun digantikan dengan gabungan subjek Sains dan Kajian Tempatan menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah rendah (KBSR) pada 1994. – MalaysiaMADANI
