Berita, Siaran Media

Kerajaan semak semua Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam – Mohd Na’im


Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Bilangan 4 Tahun 2013 sedang disemak semula bagi memastikan pendekatan yang digunakan lebih komprehensif dan mampu menangkis cabaran ideologi baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara tersebut termasuk elemen New Age Movement (NAM) yang jelas bercanggah dengan asas-asas Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kerajaan sentiasa tegas dalam menangani sebarang bentuk ancaman ideologi yang berpotensi menggugat kesucian akidah dan syariat Islam khususnya aliran pemikiran Barat yang bersifat sinkretik (campuran pelbagai agama dan kepercayaan).

“Garis panduan tersebut telah dijadikan dokumen rujukan penting bagi mengenal pasti dan menyaring sebarang unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam dalam program motivasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, dalam menghadapi cabaran tersebut pihaknya melalui Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta agensi berkaitan telah melaksanakan pelbagai pendekatan menyeluruh menanganinya.

Malah, tindakan penguatkuasaan juga ditingkatkan dengan sebarang pelanggaran undang-undang.

Ia akan melibatkan perundangan syariah atau sivil akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama negeri atau polis.

Pada masa sama, JAKIM akan berterusan menjalankan pemantauan terhadap penganjur program motivasi, pembangunan diri serta rawatan atau kaunseling spiritual. -MalaysiaMADANI