Berita, Siaran Media, Sidang Kemuncak ASEAN

Malaysia kongsi kepakaran dengan dengan Timor-Leste dalam aspek pembangunan luar bandar

Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dengan Timor-Leste yang baharu menyertai negara anggota ASEAN dalam melaksanakan program pembangunan luar bandar yang menyeluruh, mampan dan berimpak tinggi.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selepas Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste yang diwakili oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama, TYT Dr. Bendito dos Santos Freitas.

Katanya melalui MoU ini, kedua-dua negara akan bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti pembangunan kapasiti dan modal insan, transformasi digital luar bandar, pembangunan sosioekonomi serta pertukaran ilmu dan kepakaran teknikal.

“MoU ini menandakan satu lagi babak penting dalam hubungan dua hala Malaysia–Timor-Leste, khususnya dalam bidang pembangunan luar bandar.

Ia juga merupakan kesinambungan daripada lawatan rasmi saya ke Timor-Leste pada Ogos tahun lalu, di mana Malaysia berkongsi pengalaman dalam melaksanakan program pembangunan desa yang menyeluruh, mampan dan berimpak tinggi.

“Timor-Leste telah menghantar 10 pegawai Kerajaan dan pemimpin komuniti menyertai Program Latihan Antarabangsa INFRA pada September lalu yang merupakan satu langkah awal memperkukuh pertukaran ilmu antara kedua-dua negara,” katanya.


Ahmad Zahid pada masa  berharap MoU yang baharu dipersetujui akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara.

“Insya-Allah, MoU ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara sekaligus meneguhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kerajaan Timor-Leste sebelum ini mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai model pembangunan desa yang komprehensif dan berjaya. – MalaysiaMADANI