Berita, Siaran Media

Pelantikan Takaichi sebagai Perdana Menteri bukti evolusi demokrasi Jepun yang matang, inklusif



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Sanae Takaichi sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun sebagai detik bersejarah di negara matahari terbit

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan salam tahniah kepada wanita berusia 64 tahun yang dipilih menjadi Perdana Menteri Jepun yang baharu.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi, Anwar berkata pelantikan Takaichi mencerminkan keteguhan peribadi pemimpin berkenaan serta evolusi demokrasi Jepun yang semakin matang dan inklusif.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Sanae Takaichi atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Jepun.

“Pelantikan beliau ke jawatan tersebut sebagai wanita pertama yang memegang jawatan Perdana Menteri di Jepun merupakan detik bersejarah dalam landskap politik negara itu, mencerminkan keteguhan tekad beliau serta evolusi senyap demokrasi Jepun,” katanya.

Pelantikan Takaichi sebagai Perdana Menteri ke-104 Jepun telah menarik perhatian antarabangsa, bukan sahaja kerana beliau merupakan wanita pertama memegang jawatan tertinggi itu, tetapi kerana latar belakang konservatif dan pengalaman luas dalam pentadbiran negara.

Anwar pada masa sama berkata Malaysia menghargai Perkongsian Strategik Komprehensif dengan Jepun yang dibina atas asas kepercayaan, inovasi dan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau serta pertumbuhan mampan.

“Malaysia menghargai Perkongsian Strategik Komprehensif dengan Jepun yang dibina atas asas kepercayaan, inovasi dan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau serta pertumbuhan mampan,” katanya.

Malah menerusi hantaran sama Anwar memaklumkan akan menyambut kehadiran Takaichi ke Kuala Lumpur minggu hadapan sempena Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun, yang dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Selain itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, atas lawatan beliau ke Malaysia awal tahun ini yang telah mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara. -MalaysiaMADANI