Berita

Kerajaan akan terus bekerja keras demi kesejahteraan rakyat

Masih banyak aspek yang kerajaan perlu terus beri perhatian demi menjamin kestabilan negara khususnya dari segi keupayaan pertahanan dan keselamatan jangka panjang.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkan pelbagai usaha akan dilaksanakan kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, ia membabitkan penambahbaikan dalam bidang pendidikan, pembangunan infrastruktur dan ekonomi tidak akan terhenti, sebaliknya akan terus digerakkan seiring bagi memastikan kesiapsiagaan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Imej dan martabat negara perlu sentiasa dipelihara. Justeru, segala usaha reformasi, penambahbaikan dan pemuliharaan mesti dilaksanakan secara terancang, menyeluruh serta berasaskan strategi yang mampan.

“Semua ini demi masa depan Malaysia yang lebih kukuh dan sejahtera,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika hadir merasmikan Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka di Politeknik Merlimau.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri mengambil kesempatan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam di peringkat negeri dan persekutuan dalam suasana penuh harmoni serta semangat muafakat.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan turut menjayakan Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka. 

“Moga penganjuran ini membawa manfaat yang sebenar kepada rakyat serta terus memperkukuh semangat perpaduan dan kesejahteraan bersama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI