Berita

Pelaburan NCER cecah RM58.39 bilion, cipta 16,000 peluang pekerjaan

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya merealisasikan pelaburan mencecah RM58.39 bilion serta mencipta hampir 16,000 peluang pekerjaan bagi tempoh sehingga September tahun ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan mengenai prestasi baik itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Ke-34.

Bagi tempoh tersebut, beliau berkata, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut memudahcara pelaburan-pelaburan berimpak tinggi dan memberi tumpuan dalam membangunkan industri semikonduktor berteknologi tinggi.

“Ia dilaksanakan menerusi program APIRC@NTIC dan menerokai potensi projek pelancongan berimpak tinggi yang dipacu oleh pelaburan swasta,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut meneliti fokus strategik NCER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 antara lain melibatkan industri semikonduktor berteknologi tinggi, pelancongan berimpak tinggi, Taman industri tematik NCER, Pembangunan Zon Khas Ekonomi Tenaga Boleh Baharu dan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand.

Tegas beliau, satu agenda penting untuk memastikan semua perancangan NCER selaras dengan matlamat yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 serta dasar-dasar utama lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). -MalaysiaMADANI