Berita

Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara raikan wira kemanusiaan negara di Axiata Arena esok

Sokongan padu rakyat di negara ini terhadap perjuangan rakyat Palestin dan tanda semangat keersamaan rakyat akan disemarakkan menerusi Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil esok.

Himpunan berkenaan yang dijangka bermula 6 petang itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menampilkan perkongsian 23 wira dan wirawati negara yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) .

Penganjuran himpunan ini juga dilakukan sebagai simbol perpaduan serantau dan tanda penghargaan di atas keberanian 23 sukarelawan GSF yang dihalang semasa menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Inisiatif ini selaras dengan pendirian kerajaan pimpinan kerajaan MADANI yang konsisten dalam menentang kekejaman tentera Israel dan mendesak agar akses bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka tanpa sekatan.

Ahad lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kesemua sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan itu sebagai lambang keberanian rakyat di negara ini yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan sejagat  tanpa mengenal sempadan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.

“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia,” katanya.

Malah beliau menjelaskan penganjuran himpunan khas juga dilakukan bagi meraikan kepulangan mereka, di samping meneruskan gelombang solidariti rakyat Malaysia bersama saudara-saudara di Gaza. – MalaysiaMADANI