Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan mengadakan Solat Hajat serta Qunut Nazilah mendoakan keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu diambil sebagai tanda solidariti berikutan tindakan tentera Zionis yang menghalang pasukan Global Sumud Flotilla daripada meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
“Solat Hajat dan Qunut Nazilah akan dilaksanakan bermula malam ini selepas Solat Maghrib dan diteruskan selepas Solat Jumaat esok, 3 Oktober, di semua masjid dan surau di bawah pentadbiran JAKIM dan JAWI.
Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan turut akan menyampaikan Khutbah Jumaat Khas yang memberi tumpuan kepada isu Palestin,” katanya.
Dr. Mohd Na’im juga mengesyorkan agar masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri mengambil inisiatif sama bagi memperluaskan gelombang doa rakyat Malaysia untuk keselamatan pasukan flotilla, termasuk rakyat Malaysia yang terlibat, serta kesejahteraan seluruh rakyat Palestin.
Beliau pada masa sama menyeru umat Islam di seluruh negara untuk bersama-sama menadah tangan, memohon perlindungan Allah SWT dan terus mendoakan kemenangan serta ketabahan rakyat Palestin yang sedang berdepan kezaliman berterusan. – MalaysiaMADANI