Terminal Bersepadu Gombak menjadi satu lagi projek infrastruktur moden dan bersepadu yang menjadi bukti kesungguhan kerajaan menyediakan ekosistem pengangkutan awam lebih sistematik, efisien serta terancang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terminal tersebut adalah manifestasi iltizam kerajaan di bawah kerangka Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan prasarana canggih, terkini dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat.
“Lebih penting, terminal ini berperanan sebagai pusat penghubung sistem pengangkutan awam darat termasuk rel dan bas termasuk stesen ECRL apabila siap kelak, lantas memperkukuh rangkaian pengangkutan negara,” kata beliau dalam media sosialnya.
Namun begitu kata Perdana Menteri, kewujudan prasarana serba lengkap itu juga menuntut amalan budaya bersih dan penyelenggaraan baik secara berterusan.
Tegas beliau, penyelenggaraan tersebut bukan sahaja datang daripada pihak pengurusan, malah juga daripada kumpulan pengguna.
“Moga pembangunan ini membawa limpahan manfaat kepada warga Gombak dan memperkasa kehidupan mereka, seterusnya menjadi salah satu tunjang penting dalam jaringan pengangkutan awam negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI