Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil berat kejadian murid Tahun Tiga maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan segera akan dilakukan, malah tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidak patuhan prosedur operasi standard.
Beliau berkata, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mengambil tanggungjawab penuh berhubung kejadian malang tersebut dan tindakan susulan diambil bagi mengelak insiden seumpama itu berulang.
“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga murid yang telah meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.
”Kami mengambil tanggungjawab penuh menyiasat perkara ini secara terperinci. Laporan lengkap akan dikemukakan dengan segera untuk tindakan lanjut,” kata beliau menerusi media sosialnya.
Beliau berkata, kejadian tersebut sangat mendukacitakan kerana sekolah perlu menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak.
Tegas beliau, semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan pejabat pendidikan negeri perlu bertanggungjawab memastikan fasiliti di institusi pendidikan berada dalam keadaan selamat.
“Tiada kompromi terhadap aspek yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan,” ujarnya. -MalaysiaMADANI