Berita

Junjung titah Sultan Selangor, iltizam pastikan pembangunan bawa manfaat kepada rakyat



Perdana Menteri menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin idris Shah berhubung masa depan dan hala tuju kawasan Kampung Baru.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pandangan berkenaan selari dengan pendirian kerajaan MADANI yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang.

“Alhamdulillah saya menyambut baik kenyataan DYMM Sultan Selangor berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampong Bharu.

“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, beliau tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.

Namun tidak mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional.

Terdahulu, Sultan Selangor dalam titah kenyataan menyeru agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda juga mengingatkan sejarah kawasan berkenaan yang merupakan tanah kurniaan nenda baginda sebagai penempatan kepada orang Melayu bagi tujuan pertanian.

Titahnya lagi, tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu,” titah baginda dalam satu kenyataan. -MalaysiaMADANI