Teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan perlu diawasi serta ditangani sebaiknya menerusi lensa keselamatan secara efektif oleh pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing, sebaliknya perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara.
Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal, meningkatkan kesedaran awam serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
“Dari segi perundangan, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini,” kata beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, setiap individu harus memainkan peranan dalam melindungi data peribadi apabila berurusan dalam talian, antaranya menerusi penggunaan MyDigital ID.
Jelas beliau, pendaftaran MyDigital ID kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari, hasil integrasi dengan aplikasi seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV.
“Komitmen Malaysia turut dizahirkan di peringkat global. Dalam masa terdekat, kita akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam.
“Ia sebagai bukti kesungguhan memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital,” ujar beliau.
Mesyuarat juga menegaskan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC) bersama NACSA, penyelidik dan industri.
Usaha ini diyakini akan memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal, membendung jenayah siber dan memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terjamin. -MalaysiaMADANI