Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @Keganasan Rumah Tangga @Aku Wanita @KRT anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari pelbagai latar belakang.
Program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang bertemakan “Ayuh Berani Lapor” sebagai seruan utama itu berlangsung di Dewan Galasa Caldwell, Ipoh itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Menerusi pengisian yang pelbagai seperti sesi intervensi psikologi “K-Chat” bersama kaunselor bertauliah,perkongsian pengalaman pemandiri serta forum pakar.
Program berkenaan menjadi platform strategik meningkatkan kesedaran, memberi keyakinan kepada mangsa untuk bersuara dan menyediakan ruang sokongan pemulihan yang selamat.
KPWKM menekankan kepentingan pelaksanaan program advokasi secara berterusan agar masyarakat sentiasa peka terhadap isu keselamatan dan kesejahteraan wanita, kanak-kanak serta keluarga.
Antara inisiatif lain yang telah digerakkan termasuk Program Matahari, IRIS, Skuad Waja dan penyediaan perkhidmatan kaunseling.
Malah, kehadiran peserta yang ramai membuktikan program ini mendapat perhatian dan diyakini mampu memberi impak positif kepada masyarakat sekali gus memperkukuh jaringan sokongan mangsa serta memartabatkan agenda pemerkasaan wanita di negara ini.
Majlis dihadiri Datuk Salbiah Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak.
Turut hadir adalah Jenny Choy Tsi Jen, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Canning, Halizah Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) serta pegawai kanan kerajaan, agensi berkaitan dan NGO. – MalaysiaMADANI