Berita

Tiada lagi lantikan kontrak interim, semua perjawatan jururawat adalah tetap

Semua pengambilan baharu jururawat Gred U5 akan dibuat secara lantikan tetap berikutan pengecualian lantikan kontrak interim, kata Menteri Kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara berkenaan adalah antara inisiatif bagi meningkatkan jumlah perjawatan untuk kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) juga ditingkatkan daripada 1,500 kepada 3,000 dengan seramai 5,077 pelatih sedang mengikuti latihan Diploma Kejururawatan di ILKKM, sehingga Mac lalu.

“Selain pengambilan menerusi ILKKM, kementerian menyasarkan pengambilan 1,000 jururawat graduan Diploma Kejururawatan keluaran universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tahun ini,” katanya.

Dr Dzulkefly  menjelaskan, penamatan moratorium bagi program Diploma Kejururawatan di UA dan IPTS oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, telah bermula 1 Ogos 2024.

“ Sehingga kini, sebanyak 13 kolej sudah memohon untuk membuka program baru bagi diploma kejururawatan.

“Menerusi Lembaga Jururawat Malaysia, kementerian juga turut  melonggarkan syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyasarkan peningkatan lepasan SPM ke bidang kejururawatan di ILKKM, UAdan IPTS,” katanya.

Penjelasan ini dibuat sebagai menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah mengatasi masalah kekurangan jururawat di hospital  awam yang semakin kritikal.

Katanya, KKM kini sedang meneliti beberapa cadangan tambahan seperti pelantikan semula jururawat bersara secara ‘Contract of Service’ atau ‘sesional’.

Inisiatif berkenaan jelas Dr Dzulkefly diyakini boleh mempertingkatkan publisiti profesion jururawat dan Latihan Separa Perubatan Jururawat melalui pelbagai platform termasuk Program Madani Rakyat, promosi pendidikan.

Selain boleh meningkatkan pengambilan pelatih melalui ‘outsourcing’ atau tajaan latihan bagi melanjutkan pengajian Diploma Kejururawatan di UA atau IPTS. – MalaysiaMADANI