Berita

Persembahan Boria Terbuka menarik, kreatif gamatkan Minggu Perpaduan 2025

Penganjuran boria terbuka sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang berlangsung meriah dengan persembahan menarik daripada para peserta.

Ternyata Persembahan Boria Terbuka tersebut berjaya mencuit hati semua pengunjung yang hadir menyaksikan bakat semulajadi terutama daripada peserta cilik.

Segak dengan pakaian cantik di atas pentas, kumpulan pelajar yang membuat persembahan seakan tidak kekok menampilkan kreativiti masing-masing.

Tahniah diucapkan kepada semua yang telah menjayakan Persembahan Boria Terbuka sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan!

Majlis yang berlangsung dengan suasana penuh gelak tawa itu turut dihiburkan dengan irama tradisional mempersonakan.

Jelas terpancar semangat perpaduan dalam setiap persembahan yang ditampilkan oleh kumpulan peserta dari seluruh negara. 

Bukan sahaja berjaya menampilkan persembahan dengan karya kreatif, malah aksi bersahaja peserta mencuit hati dan menyentuh jiwa rakyat.

Kehadiran orang ramai dari pelbagai kaum dan lapisan umur memeriahkan lagi acara tersebut dan menjadikannya satu kenangan manis yang mencerminkan erti sebenar ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’. -MalaysiaMADANI