Malaysia berhasrat untuk memperluaskan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi bersama Bangladesh, khususnya dalam aspek kepimpinan akademik, mobiliti pelajar, edutourism dan jaminan kualiti.
Hasrat berkenaan disampaikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir semasa menerima kunjungan hormat daripada wakil khas Hal Ehwal Antarabangsa Bangladesh, Lutfey Siddiqi bersama delegasi di ibu negara semalam.
Katanya, pertemuan berkenaan membincangkan pelbagai peluang kerjasama dua hala yang dilihat mampu memperkukuh tadbir urus institusi pendidikan tinggi.
“Kerjasama ini juga penting bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan di kedua-dua negara kekal relevan dan menepati piawaian antarabangsa, sekali gus membuka ruang pertukaran amalan terbaik serta pembangunan kapasiti modal insan,” katanya.
Zambry pada masa menegaskan kerjasama yang dirancang itu mampu memperkukuh tadbir urus institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara selain memupuk kefahaman rentas budaya dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik.
“Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk cadangan kerjasama strategik dalam bidang kepimpinan pendidikan tinggi, mobiliti pelajar, edutourism dan jaminan kualiti akademik,” katanya.
Turut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman.
Turut terlibat dalam pertemuan berkenaan adalah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar. – MalaysiaMADANI