Golongan pendidik termasuk bahagian pentadbiran sekolah diminta memberi perhatian utama terhadap agenda reformasi sekolah bagi mencapai sasaran ditetapkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menekankan bahawa agenda reformasi sekolah memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak termasuk Guru Besar bagi memastikan kejayaannya.
“Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian isu-isu yang dihadapi Guru Besar dan akan mencari penyelesaian segera demi manfaat semua,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Kerajaan Negeri Sabah bersama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM).
Majlis makan malam itu dianjurkan bersempena penganjuran Konvensyen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-3 PGBM 2025.
Ia disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah.
Konvensyen Pendidikan itu dihadiri oleh lebih 2,000 orang Guru Besar dari seluruh negara.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Azam Ahmad. -MalaysiaMADANI