Berita

KPN – NEAC teroka kerjasama kukuhkan perpaduan

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Suruhanjaya Ehwal Etnik Republik Rakyat China (NEAC) kini sedang meneroka potensi kerjasama strategik dalam beberapa bidang sebagai  usaha memperkukuh perpaduan sosial secara menyeluruh.

KPN dalam kenyataan memaklumkan antara inisiatif utama yang sedang dirintis termasuk pembangunan modul latihan bersama bagi melatih mediator komuniti, yang diinspirasikan daripada pengalaman China dalam melaksanakan Undang-Undang Mediator secara menyeluruh.

“Setakat ini, di bawah seliaan KPN, terdapat seramai 571 mediator komuniti bertauliah di seluruh negara yang memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menangani konflik setempat dan memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

“Kerjasama ini dijangka membuka ruang kepada pertukaran ilmu, amalan terbaik dan pendekatan baharu yang lebih inovatif dalam membina masyarakat yang lebih bersatu, inklusif dan harmoni,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut mencadangkan penubuhan platform serantau seperti ASEAN–China Grassroots Social  Cohesion Forum yang berperanan sebagai wadah perkongsian amalan terbaik dalam mengukuhkan kohesi sosial di peringkat akar umbi.

Terdahulu, KPN menganjurkan Majlis Makan Malam bersama NEAC di Putrajaya. Majlis berkenaan bertujuan menzahirkan penghargaan KPN terhadap usaha  serta komitmen yang ditunjukkan oleh NEAC dalam mempromosikan perpaduan dan keharmonian negara. 

Di samping itu, ia juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam aspek tadbir urus etnik, keharmonian sosial dan integrasi pelbagai budaya.

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Datuk Aaron Ago Dagang dan Duan Yijun, Timbalan Menteri NEAC. – MalaysiaMADANI