Berita

Atlet cemerlang dihargai, UiTM jadi lubuk lahir bakat baharu negara

Kejayaan atlet institut pusat pengajian tinggi (IPT) terus dihargai dengan penganjuran Majlis Anugerah Sukan UiTM (MAS) 2024 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.


Penganjuran majlis penghargaan itu diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim.


Beliau menyifatkan acara tersebut sebagai manifestasi pengiktirafan tertinggi, bukan sahaja kepada atlet, malah kepada kumpulan jurulatih yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sukan sepanjang tahun 2024.


Sebanyak 18 kategori anugerah dipertandingkan termasuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati, Anugerah Tokoh Sukan serta Anugerah ‘Hall of Fame’.
Penghargaan itu sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mengharumkan nama UiTM di peringkat tempatan dan antarabangsa.


Kemuncak majlis menyaksikan atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq bin Kasdan, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Olahragawan UiTM buat tahun ketiga berturut-turut.


Sementara itu, pemanah elit, Nurul Azreena binti Mohamad Fazil diumumkan sebagai Olahragawati UiTM 2024 atas prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa.


Menurut Anesee, tahun 2024 merupakan tempoh membanggakan bagi sukan negara dengan pencapaian membanggakan di Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan kejohanan dunia.

Kata beliau, Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk UiTM memainkan peranan penting dalam menyokong kesinambungan kejayaan di peroleh kontinjen negara di peringkat antarabangsa.


“Pihak kementerian memuji UiTM sebagai sebuah universiti yang aktif dan konsisten dalam pembangunan sukan, ia seiring dasar pembangunan pelajar secara holistik.


“UiTM bukan sekadar menyertai pelbagai kejohanan seperti SUKIPT, MASUM dan Liga IPT, tetapi turut mendominasi acara-acara penting.


“KPT kini melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk pengukuhan Dasar Sukan IPT, kerjasama dengan KBS dan MSN, serta pelaburan dalam kemudahan sukan universiti untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia,” jelasnya.


Beliau berkata, menerusi ekosistem sukan yang mantap dan sokongan kepimpinan universiti, UiTM diyakini akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan bakat sukan negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa sukan serantau dan antarabangsa. – MalaysiaMADANI