Iskandar Malaysia berjaya mencatatkan kenaikan 11 peratus dalam pelaburan komited apabila memperoleh RM 41.1 bilion bagi tahun 2024 berbanding RM37.2 bilon bagi tahun sebelumnya, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai berkenaan juga merupakan pencapaian tertinggi sejak Iskandar Malaysia diwujudkan.
“Tahun lalu juga, nilai pelaburan yang direalisasikan mencecah RM26.7 bilion. Pelaburan Asing sebanyak RM36.1 bilion dan Pelaburan Domestik sebanyak RM5.3 bilion.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa keyakinan pelabur terhadap Iskandar Malaysia terus meningkat,” katanya.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat ke-34 Ahli Pihak Berkuasa, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menekankan kepentingan persediaan koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia dalam mengharungi keadaan ekonomi dan perdagangan dunia yang kian mencabar dan tidak menentu. – MalaysiaMADANI